| |
Masalah
pendengaran dan telinga anda.
Masalah pendengaran bukanlah suatu masalah yang jarang2
berlaku di dalam masyarakat kita. Malah dalam dunia
ini, masalah pendengaran dihadapi oleh setiap peringkat
umur, sama ada peringkat bayi, remaja, dewasa mahupun
warga tua. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai
masalah pendengaran yang anda hadapi, adalah penting
untuk mengenali telinga anda terlebih dahulu.
Struktur telinga anda.
Secara fizikal, telinga boleh dibahagikan kepada tiga
iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam
(Gambarajah 1). Telinga luar terdiri daripada cuping
telinga dan salur telinga anda. Manakala telinga tengah
merangkumi gegendang telinga, tulang osikel (incus,
stapes dan maleus) , ruang telinga tengah serta tiub
Eustachian (yang menyambungkan bahagian telinga tengah
ke tekak) .
Telinga dalam pula terdiri daripada koklea, salur
separuh bulat dan saraf auditori iaitu saraf pendengaran
yang menghantar maklumat pendengaran dari koklea ke
otak untuk ditafsirkan. Di otak pula, terdapat pusat
pendengaran yang akan memproses maklumat yang sampai
dan maklumat-maklumat ini akan ditafsirkan sebagai pendengaran.
Disebabkan hal inilah, kita dapat menikmati sensasi
pendengaran.
Untuk mendengar, kesemua bahagian telinga yang telah
dinyatakan tadi haruslah boleh berfungsi secara normal
tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang
gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu
berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah
ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

Gambarajah 1
Jenis Masalah Pendengaran.
Adalah penting untuk anda mengetahui jenis masalah
pendengaran yang anda hadapi kerana ia akan membantu
anda dan menyelesaikan masalah tersebut. Terdapat masalah
pendengaran yang boleh dirawat dan tidak boleh dirawat.
Jika anda menghadapi masalah pendengaran yang tidak
boleh dirawat, pemakaian alat bantu dengar adalah perlu.
Terdapat tiga (3) jenis masalah pendengaran iaitu
masalah konduktif, sensorineural dan campuran. Masalah
pendengaran konduktif berlaku apabila terdapat masalah
atau jangkitan pada telinga luar dan telinga tengah.
Contoh masalah dan jangkitan yang boleh menyebabkan
masalah pendengaran konduktif ialah ketiadaan lubang
telinga (atresia), cuping telinga kecil atau tiada cuping
telinga (mikrotia / anotia), sumbatan tahi telinga di
salur telinga, jangkitan kuman pada salur telinga atau
telinga tengah dan gegendang telinga bocor/pecah.
Masalah pendengaran sensorineural pula berlaku apabila
terdapat masalah atau jangkitan pada telinga dalam,
tempat di mana koklea dan saraf pendengaran berada.
Masalah ini tidak dapat dilihat secara fizikal (tiada
rembesan nanah atau kecacatan fizikal) tetapi hanya
dapat dikenalpasti melalui pemeriksaan pendengaran secara
menyeluruh. Masalah ini tidak dapat dirawat, tidak seperti
masalah pendengaran konduktif yang boleh dirawat secara
pengambilan ubat atau pembedahan.
Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila
terdapat kehadiran kedua-dua masalah pendengaran serentak
iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural
hadir bersama. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah
pendengaran sensorineural juga mempunyai mampatan tahi
telinga dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran
campuran. Apa jua masalah yang berlaku di telinga luar/tengah
beserta masalah di telinga dalam disebut sebagai masalah
pendengaran campuran.
Berhati-hati jika anda mengalami
tanda-tanda berikut !
Segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan
pendengaran anda.
- Meminta percakapan diulang berkali-kali
- Bercakap dengan nada suara yang lebih kuat daripada
biasa
- Tidak memahami arahan yang diberikan atau silap
memahami arahan.
- Sukar memahami perbualan di tempat bising
- Terpaksa memalingkan kepala ke arah sumber bunyi
dalam usaha untuk memahami apa yang didengari
- Sukar memahami perbualan telefon
- Toleransi terhadap bunyi bising berkurang
- Suka memencilkan diri dari bergaul dan berbual
- Terdedah kepada bunyi yang sangat kuat
- Terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kecederaan
di bahagian kepala dan leher.
- Terdapat ahli keluarga yang juga mempunyai masalah
pendengaran
- Pengambilan ubat ototoksik (anti-histamin, anti-diuretik
dll)
- Menghidap penyakit sistemik (kencing manis, hiperkolesterol,
buah pinggang dll)
Perhatikan anak-anak
anda. Jika mereka mempunyai salah satu ciri-ciri seperti
di bawah, bawalah mereka menemui doktor untuk pemeriksaan
pendengaran!
- Tidak bertindak balas terhadap bunyi
- Tidak bertindak balas terhadap panggilan nama sendiri
- Tidak memahami / silap memahami arahan
- Kelihatan tidak memberikan tumpuan/ sentiasa mengelamun
- Kelihatan nakal, tidak mempedulikan orang lain
/ sangat pasif, menyendiri
- Lebih banyak menunggu dan melihat apa yang dilakukan
oleh orang lain dahulu sebelum melakukan sebarang
tugas
- Akan membaca bibir, melihat isyarat visual, ekspresi
muka dan gerak tangan daripada mendengar
- Lewat bertutur
- Lebih banyak menunjuk dengan jari dari bercakap
- Menonjolkan sikap yang ganjil ketika berinteraksi
dengan kawan-kawan
- Menghidap demam kuning yang teruk sehingga memerlukan
penukaran darah selepas dilahirkan
- Telinga sering berair atau bernanah
- Dilahirkan sangat kecil (berat badan kurang 1.5kg)
- Tidak menangis sebaik sahaja dilahirkan
- Ibu mendapat jangkitan seperti rubella, siphlis,
herpes, cytomegalo virus dll jangkitan kuman semasa
mengandung
- Ibu terdedah kepada radiasi (X-ray ,MRI dll) semasa
mengandung
- Ibu mengambil ubat ototoksik semasa mengandung
(anti-histamin, anti-diuretik dll)
- Ibu mengambil dadah atau menghisap rokok semasa
mengandung
Langkah awal perlulah diambil dalam mengatasi masalah
pendengaran terutama di kalangan kanak-kanak. Ia boleh
mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan bahasa
dan pertuturan kanak-kanak tersebut. Ini seterusnya
akan merencat perkembangan sosial, komunikasi, psikologi
dan vokasional individu berkenaan. Masalah pendengaran
perlu dikesan sejak kecil (umur < 3 bulan) agar pemasangan
alat bantu dengar yang bersesuaian serta program rawatan
seterusnya dapat dilakukan. Ini adalah bertujuan untuk
mengurangkan kesan masalah pendengaran yang dihadapi
oleh kanak-kanak berkenaan.
|